India bawa pulang jasad 45 mangsa kebakaran di Kuwait

NEW DELHI, 14 Jun
Kerajaan India pada Jumaat berkata ia telah membawa pulang jasad 45 pekerja negara itu yang terkorban dalam kebakaran di Kuwait, minggu ini.

“Sebuah pesawat khas IAF (Tentera Udara India) yang membawa jasad 45 mangsa warga India dalam insiden kebakaran di Kuwait telah berlepas ke Kochi (bandar selatan India),” kata Kedutaan India di Kuwait dalam hantaran di platform X, lapor Agensi Anadolu.

Sekurang-kurangnya 49 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera pada Rabu selepas kebakaran tercetus dari dua bangunan kediaman di bandar Mangaf di selatan Kuwait.

Mejar Jeneral Eid Rashid Al-Owaidan, Pengarah Bukti Forensik di Kementerian Dalam Negeri Kuwait berkata kebanyakan kematian disebabkan terhidu asap.

Menurut kedutaan 45 pekerja India terkorban dalam kebakaran berkenaan manakala 33 orang dimasukkan ke pelbagai hospital di negara Teluk itu.

Selepas insiden kebakaran itu, kerajaan India menghantar Timbalan Menteri Luar Kirti Vardhan Singh ke Kuwait untuk menguruskan “penghantaran pulang awal mayat serta bantuan perubatan kepada mereka yang cedera.”

Kedutaan juga menyatakan bahawa daripada 45 mangsa, kebanyakan mereka berasal dari negeri Kerala di selatan India.

Lebih 8 juta pekerja India dianggarkan bekerja di negara Teluk Arab, menurut data rasmi yang dibentangkan di parlimen India pada 2022.

— Bernama

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Latest Articles