Kes Zayn Rayyan: Penduduk masih traum

“Saya serahkan siasatan kepada pihak polis dan berharap pelaku sebenar dalam kes pembunuhan Zayn Rayyan dapat dihadapkan ke muka pengadilan”.

Demikian reaksi Che Zaiton Abd Aziz, 55, bekas keluarga pengasuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang mengakui berita penahanan ibu dan bapa kanak-kanak itu bagi membantu siasatan polis, kelmarin agak mengejutkan.

“Saya yakin semua pihak terkejut, termasuk saya sendiri. Namun kalau itu keperluan polis untuk menjalankan siasatan, kita serahkan kepada pihak berkuasa dan beri kepercayaan kepada mereka (polis) untuk jalankan siasatan.

“Sebagai keluarga pengasuh yang pernah menjaga Zayn Rayyan, saya harap siasatan kes ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya dan pelaku sebenar dapat dihadapkan ke muka pengadilan.

Untuk rekod, Che Zaiton adalah ibu mentua kepada bekas pengasuh Zayn Rayyan, Auni Afiqah Abas, 29, yang mana beliau turut membantu tugas menantunya menjaga kanak-kanak itu sekiranya Auni Afiqah ada urusan di luar.

Beliau yang ditemui di kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai memaklumkan Auni Afiqah kebetulan tiada di rumah, hari ini kerana menghadiri satu majlis kenduri kahwin seorang rakan.

“Bila bercakap mengenai Zayn, pasti saya akan rasa sedih. Memang rasa rindu. Kadang kala saya akan buka gambar-gambarnya di telefon (bimbit).

“Namun semua pihak perlu reda termasuk saya sendiri. Cuma saya harapkan kes dapat dirungkai dan pelaku dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang juga jiran keluarga Zayn Rayyan, Siti Norzahiyah Bakar, 30, di Blok R Apartmen Idaman, memaklumkan kediaman keluarga itu sudah lama tidak berpenghuni dan beliau difahamkan, ibu bapa Zayn Rayyan sudah berpindah beberapa minggu selepas kejadian.

“Berikutan kejadian itu (pembunuhan Zayn Rayyan), penduduk yang mempunyai anak-anak kecil memang berasa trauma, dan perasaan itu masih kekal hingga ke hari ini kerana pelakunya belum ditahan.

“Saya sendiri yang mempunyai dua anak kecil berusia lima dan enam tahun, tidak akan membenarkan mereka keluar ke mana-mana sendiri termasuk bermain di luar sehingga ke hari ini. Saya akan temankan mereka ke mana-mana,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai penahanan ibu bapa Zayn Rayyan, suri rumah itu berkata perkara itu memang amat mengejutkan namun menyerahkan siasatan kepada pihak polis.

Semalam, BH melaporkan polis menahan sepasang suami isteri yang juga ibu bapa kepada Zayn Rayyan untuk membantu siasatan polis yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika mengesahkan penahanan itu memaklumkan suami isteri itu ditahan pada jam 10.05 pagi, kelmarin di sebuah lokasi di Puncak Alam.

Kedua-duanya kemudian dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya, semalam sebelum Majistret Ainaa Muhammad Kamal membenarkan permohonan polis untuk kedua-duanya direman tujuh hari bermula semalam sehingga 7 Jun ini bagi membantu siasatan.

Pada 6 Disember lalu, mayat kanak-kanak malang berusia enam tahun itu ditemui di anak sungai, kira-kira 200 meter daripada kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, pada jam 10 malam.

Mayatnya ditemui oleh orang awam yang menyertai operasi mencari mangsa.

Bedah siasat di Hospital Sungai Buloh mengesahkan kanak-kanak itu dibunuh berdasarkan penemuan kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang oleh keluarganya.

-Berita harian

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Latest Articles