
Polis sedang mengesan suspek berkaitan satu insiden membaling pasu bunga tembikar di Balai Polis Serdang, pagi hari ini.
Dalam satu kenyataan media, Ketua polis daerah Serdang A Anbalagan berkata motif kejadian itu disyaki berlaku akibat rasa puas hati.
“Pada 2 Jun, lebih kurang 6.30 pagi, sebuah motosikal yang dipercayai di naiki oleh dua individu lelaki tanpa memakai topi keledar dipercayai dalam keadaan mabuk telah berhenti di hadapan pintu pagar Balai Polis Serdang.
“Apabila anggota bertugas mahu bertanya salah seorang suspek telah membaling sebuah pasu bunga tembikar ke arah pagar sebelah kiri balai polis dan terus melarikan diri,” katanya.
Mengulas lanjut, Anbalagan berkata motif kejadian dipercayai akibat satu insiden 2.30 pagi pada hari yang sama, di mana anggota bertugas memberi amaran kepada sekumpulan lelaki bermotosikal dari jarak dekat menunggang motosikal tanpa menggunakan topi keledar di persimpangan lampu isyarat di jalan utama hadapan balai polis.
Katanya, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek yang terlibat.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.
Katanya, jika disabit kesalahan akan dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Dia turut meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi IPD Serdang di talian 03-80742222 atau pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Hakimi di talian 011-17681105.

