
Kota Kemuning, 14 Jun- Tindakan kerajaan memperkenalkan subsidi diesel bersasar akan memberi tekanan kepada pengusaha bas pekerja di negara ini.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Kakitangan Malaysia, Jackie Siew Mee meminta kerajaan mempertimbangkan kemasukan pengusaha bas pekerja di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.
“Adalah amat dikesalkan kerana pengusaha bas tidak termasuk dalam senarai kenderaan yang menerima subsidi ini.
“Disebabkan ini pemandu bas dan pengusaha mereka menghadapi banyak masalah,” katanya di sidang media Kota Kemuning, hari ini.
Menurutnya, terdapat lebih 1,200 pengusaha bas pekerja di seluruh negara dan lebih 50 peratus daripada mereka terbeban dengan kenaikan harga diesel.
“Mereka mempunyai kontrak dengan kilang itu antara satu tahun hingga tiga tahun.
“Memandangkan kami terikat dengan kontrak jangka panjang dengan kilang yang menggunakan perkhidmatan bas, kami tidak boleh menaikkan tambang sesuka hati,” katanya.
Katanya, buat masa pengusaha bas pekerja terpaksa mengeluarkan modal sendiri untuk menampung kenaikan harga diesel.

